Thursday, 1 January 2015

Biarkan pin keselamatan terpasang, dari melukakan insan yang tidak kita kenali




Telah pun bertukar tarikh dari 2014 ke 2015. Pejam celik 365 hari telah berlalu dalam hidup kita. Lebih menakutkan jika saya kata lebih 4000 jam telah melayang dalam hidup kita. Macam banyak bukan masa kita?

Tahun lepas secara peribadinya tahun yang penuh pancaroba dan onak duri. Pada awal tahun saya beria-ia menunggu dua perkara i) pulang sebentar ke kampung halaman besancon dan ii) mendukung sendiri anak pertama saya. Selebihnya pada bulan-bukan yang mendatang saya dah tak kisah apa yang bakal berlaku.

Nah.. Negara dikejutkan dengan kehilangan MH370. Sehingga kini masih tertanya apa yg berlaku pada mereka. Masih segar dlm ingatan yang saya pada ketika itu saya sedang membawa pulang ibu ke kampung, dan kami mendapat berita ini sejurus kami tiba. Saya kerap mengikuti perkembangan cerita tatkala saya sedang bercuti menjaga isteri saya yang sedang berpantang.

Tiba pertengahan tahun, saya diuji dengan peristiwa dimana isteri saya perlu menjalani pembedahan kecil. Jujurnya, saya agak kaget kerana terpaksa menjaga anak kecil tak sampai 3 bulan yang masih kuat menyusu ibu.

Saya berada lagi dirumah sehingga tiba bulan puasa. Saya dipanggil semula ke laut setelah sekian lama. Tidak lama selepas itu berlaku juga tragedi udara yang melibatkan penerbangan malaysia. MH17. Ya Allah ujian apakah yang kau turun kan ini. 2 bencana udara berlaku dalam setahun ke atas syarikat yg sama. Saya termangu sebentar. Saya salah seorang pengguna jalan udara yang kerap. Dah macam naik bas. Sebulan at least dua kali. Kebarangkalian matinya saya tanpa kubur lebih tinggi berbanding orang lain.

Masa dipantaskan, tiba pula oktober. Saya congakkan kembali jumlah hari saya keluar bekerja... Tak sampai 110 hari. Kekangan ekonomi berlaku. Pada mulanya saya tidak menduga sehingga bulan raya. Nmun bila dicongak kembali dan konfirmasi dari pejabat yang kurang kadar ke laut, ia akhirnya jelas. Ini sememangnya ujian besar terhadap diri saya. Namun alhamdulillah, berkat simpanan yang ada, kami sekeluarga cukup makan.

Hujung tahun. Berlaku pula keributan identity, pemikiran, motivasi dan keredhaan. Saya ketika itu berada di laut lepas. Entah bagaimana perkara yang saya lepaskan dulu datang menghantui. Saya hampir2 menyalahkan takdir. Allahu... Syukur masih ada sekelumit iman yang menjadi kuku yang berpaut ditebing neraka. Saya harungi dengan air mata dan hati yang didoakan supaya lapang menerima kekurangan dan kesilapan silam.

Benar kata orang. Bila kita lari dari realiti, dari kejadian lampau yang telah menjadi kebenaran kini, kita akan pasti letih. Akhirnya kita tersungkur dan hanya terduduk mendirikan egoisma dalam diri. Jika kita menerimanya dengan rendah diri, ia bagaikan angin lalu yang menerpa badan sedang kita tersenyum menikmatinya mendepa tangan.

Hujung tahun, turunnya ribuan titisan air tanpa putus, dan kuda-kuda merah meluncur melanggar bumi malaysia. Tidak cukup dengan itu, satu lagi penerbangan milik syarikat malaysia mengalami tragedi udara. Dari allah kita datang, kepada allah juga kita kembali... Ujian buat kita semua...

Ini mungkin ringkasan tahunan saya. Mungkin ringkasan anda semua berlainan warna dan rasa. Namun saya ingin menarik anda mengenai satu isu yang saya sedar tatkala selalu saya berada di isolasi di lautan.

Masyarakat sudah hilang kemahiran mendengar.

Mendengar merupakan kemahiran pertama dari senarai deria kita. Sejak dari dalam rahim ibu kita yang tercinta lagi. Tapi kini, kita lebih pandai membaca. Membaca pangkal, sedikit ditengah dan melompat ke hujung ayat. Kemudian kita mula bersuara menjamu ego yang dahagakan hak bersuara.

Benar lidah lebih tajam dari pisau, kerana ia melukakan bukan pada zahir
Benar juga mata pena lebih tajam dari pedang kerana ia mengisi bukan menumpahkan.

Penggunaan media sosial sememangnya menepati ciri mata pena. Tetapi saya ia bukan lagi realiti. Ia menjadi platform pengganti lidah melukakan jiwa-jiwa dan memberi kekabutan fakta si pencari kebenaran. Ia telah menjadi pedang pemusnah bahkan senapang perosak sebenarnya. Ia menembak omongan kosong bebaur fitnah, khabar angin, gigitan menganjing dari pinggang dengan pengharapan 100 peluru yang mengenanya 10.  Biarkan ia tidak diacu tepat kesasaran, asalkan luka ditelinga pun sudah mencukupi. Media sosial menjadi medan perang penembak rambang dan buta. Ramai sahaja yang tersungkur kerananya.

Astagfirullah..

Tidak rasa berdosakah kita memperlekehkan satu jiwa bernama manusia? Mungkin benar dia melakukan kesilapan. Namun sampai begitu sekali kita menghukum walhal Allah membuka pintu taubat seluas-luasnya pada manusia jika kita melakukan kesilapan. Apakah jahilnya seseorang itu, kita boleh menghukum, memperlekeh, mengeji, menganjing sehingga tidak timbul rasa bersalahnya kita dengan manusia?

Tidakkah kita nampak setiap kali kita membaca quran? Segala ibadah dan perhubungan dia allah, allah berikan hanya beberapa ayat. Namun perkara mengenai hubungan antara manusia, ia begitu detail dan terperinci lagi.  Tengok sahaya ayat mengenai hutang. Sehinggakan ada bab siapa yang tak boleh masuk bilik parents pun. Kerana allah tahu betapa rumitnya perangai manusia. Tapi kita sendiri rasa kita hebat dari Allah.

Astagfirullah..

Benarlah sabda Baginda saw yang syaitan itu berlari2 dalam darah anak cucu adam. Assumption (andaian) sememangnya membawa kehancuran hubungan manusia jika tiada clarification (penerangan). Baginda bersungguh-sungguh memberitahu kepada dua itu yang perempuan tersebut adalah isetrinya. Cause assumption create stories. Stories turn to fitna. And the same recycled fitna, people will take it as a truth. Lihat sahaja berapa kali sesebuah khabar difacebook dikongsi. Walau pun jelas palsu dan rekaan, tapi akhirnya ada yang percaya juga sehingga dijadikan sumber sahih media massa.

Di alam maya juga kita rancak berhubungan sesama manusia, namun tiada sentuhan jasmani. Komunikasi yang menghancurkan peradaban. Hanya listrik dan pembacaan ikut mood dan nada si pembaca. Perkongsian fakta dan pendapat dikatakan kondem. Persoalan diutarakan dikatakan perli. Itu belum termasuk kata-kata yang diterjemah dari sampah-sarap baki pemikiran dunia tanpa kelas.  Perkongisan status, pengitaran khabar-khabar angin, cerita panas dan sensasi cepat saja di share. Jumlah like yang anda dapat bukan menunjukkan anda lebih pandai, atau meng'up'kan diri anda dalam kasta masyarakat. Nah, inikah dikatakan masyarakat moden yang tinggal di dalam kemudahan kelas satu?

Masyarakat telah gagal dalam ujian ini. 2 tragedi udara masih belum dapat menyatukan. Bahkan mereka yang dikatakan dari kelompok tarbiyyah juga gagal. Mungkin perlunya air bah utk mengeluarkan dan mengasingkan manusia-manusia pemikiran pemecah supaya jelas di kelompok masyarakat; seperti terasingnya dahan2 mati selepas banjir.

Jadi dengan 4000 jam yg ada, ( mungkin kurang jika sudah shortlisted dalam senarai izrael ), mari kita berazam untuk tidak menjadi manusia pemberi khabar angin, manusia berkongsi maklumat tiada

 hujung pangkal, manusia yg memanjangkan aduan pendusta, dan juga manusia yang tidak bermanfaat. Saya mahukan pin keselamatan pada pena saya sentiasa terpasang, sehingga ia benar benar diacukan pada yang batil. Berita dari massa bukan semuanya palsu, berita alternatif bukan semuanya benar. Perkongsian dari seorang yang kita percayai tak semestinya 100 tulen.

Kita umat akhir zaman. Permainan musuh yang dengki sememangnya licik. Berhati-hatilah kita. Matangkan fikiran dan daya menapis maklumat. Jangan biarkan kita emo kerana kita ego mencari hujung pangkal fakta kebenaran.


Simon Malik

No comments: