Thursday, 16 October 2014

Cerpen : 53KELUM17 (Bahagian 1)








Bunyi ketikan papan kekunci memenuhi ruang udara bilik kecil di hujung belakang sebuah rumah teres.  Suasana hening petang Ahad diiringi dengan hawa panas mentari biasanya membuatkan jiwa-jiwa malas terbang ke alam mimpi. Aiman masih lagi setia di hadapan laptopnya menaip. Entah kenapa kali ini jiwanya tak senang. Mahu disalahkan rakannya, dia hanya mahu membantu...

Boss aku nak cari orang yang ada background macam kau. Kalau kau berminat hantar CV kau kat dia nanti.

Ringkas. Mesej Whatsapp dari seorang rakan diterimanya sejam yang lepas. Hanya berbalaskan 'ok tq'. Namun mesej itu berjaya menambahkan keserabutan otaknya. Bagai ayam dilanda benang bak kata orang. Fikiran Aiman sudah sedia kusut sebenarnya. Perkara yang sudah dia buang jauh-jauh kembali menghantui. Bagai satu mimpi ngeri yang dahulunya hadir berulang kali. Kemudiannya menghilang dengan arus waktu usai meninggalkan bekas. Lalu muncul sekali lagi.

Apa kata kau tolak je tawaran ni? Logiknya, betul ke diorang nakkan kau? Atau sekadar harapan palsu macam dulu-dulu, mindanya berkata-kata

Tidak! Itu cerita lama! Aku perlu start fresh dan cuba lagi ! Jiwanya menyangkal cadangan otaknya.
Matanya melirik ke arah hujung kanan bawah skrin laptopnya.

17 Ogos... padanlah...


Suatu hari, Julai 2007


'I have something to talk about'

Suara halus melantun dari bibir seorang wanita disebelahnya. Aiman mengangkat kening kehairanan lalu memberi wajah yang sedia mendengar.

'I think we should start all over again'

Ayat yang memberi konteks berbeza dalam situasi yang berlainan. Kita perlu ulang semula eksperimen ini jika mereka sedang berada di dalam makmal, mengkaji berapa lama katak mampu hidup bila jantungnya dipotong keluar.

Kita tak serasi lagi. Kita putuskan hubungan dan menjadi kawan sementara waktu. Jika ada jodoh, kita akan pergi lebih jauh.

Itulah maksud sebenar ayat dari Aishah. Mulut Aiman sedikit melopong. Tidak dia percaya Aishah inginkan sebegitu dari dia. Pelbagai jenis materi dan perhatian telah diberi. Itu belum termasuk bunga dan 'bunga' bayaran cinta iaitu waktu hidupnya yang sedia terhad. Sebagai contoh, tiga jam dari hayatnya menunggu kehadiran wanita istimewa yang tak kunjung tiba tengahari tadi.

Aiman membisu seribu kata. Aishah juga begitu. Mereka hanya melepaskan pandangan kosong ke atas landasan keretapi. Warga kota masih belum memenuhi kawasan menunggu. Mereka pulang awal dari bersiar-siar di Subang Parade untuk mengelak dari menongkah lautan manusia yang kepenatan setelah seharian bekerja mencari rezeki. Aiman yang baru pulang bercuti musim panas membuat keputusan bertemu dengan kekasih hati. Tidak disangka ini pula jadinya.

'May I know why?'

Persoalan dari mana-mana lelaki yang berada di ambang clash. Hati mana yang tidak tertanya-tanya? Masakan ada orang lain? Tapi mungkin juga. Aiman hidup berjauhan dengan Aishah. Aiman jauh di perantauan manakala Aishah hanya lepasan matrikulasi. Dia baru sahaja masuk tahun pertama jurusan perakaunan di UiTM. Aiman pula berlainan nasib. Dia ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang IT di Perancis sejurus keputusan SPM keluar. Akan tetapi tidak ramai yang tahu bahawa dia juga menerima tawaran untuk masuk ke matrikulasi yang sama dengan Aishah.

'I tak ingat..'

Aishah cuba lari dari soalan. Perempuan. Mungkin ada faktor lain yang tidak mahu dia luahkan. Aiman sangat memahami sikap seorang wanita terutama Aishah. Setahun setengah walaupun pendek, tetapi cukup untuk dia masak dengan perangai Aishah. Perkara yang tidak mahu dikongsi ketika itu tidak perlu dipaksa untuk diluahkan. Pasti akan diluahkan juga suatu hari nanti. Cuma mungkin perlu menunggu bulan jatuh ke riba.

Angin petang menderu menerbangkan debu-debu. Seperti mana terbangnya soalan-soalan dari benak Aiman. Terbang akibat komunikasi sehala. Apabila mulutnya dikunci, jawapan yang pendek sahaja yang diterima, itu tanda pemati perbualan. Dia perlu tunggu sehingga tiba tempoh bertenang.

Nafas dihelakan. Aiman menoleh ke arah Aishah yang masih lagi merenung kosong ke landasan. Entah apa yang menarik dengan besi landasan itu, tetapi dari pandangan sisi hidungnya memang mancung. Wanita disebelahnya adalah kelas yang tersendiri buat dirinya. Kerana dia pernah menyelematkannya dari satu bencana jiwa. Bencana yang mengubah seorang manusia ke seekor binatang tanpa perasaan dan faham erti terima kasih. Aishah adalah penyelamatnya!

'Baiklah.. Kita akan jumpa lagi untuk berbincang mengenai hal ini. Hal macam ini perlu berbincang bersemuka.'

Aishah hanya mengangguk. Entah apa yang bermain difikirannya. Aiman menjengah waktu ketika komuter  tapi mindanya masih ligat berhadapan dengan kekabutan ini. Masih ada masa lagi. Dia ada lebih kurang 2 minggu sebelum pulang ke Perancis.

 

****


Aiman terpinga mengapa dia berada di sebuah koridor tanpa pintu. Hanya cahaya malap yang tidak tahu mana punca. Matanya dikecilkan. Sayup-sayup ada sebuah pintu di hujung. Pintu keluar agaknya. Entah berapa langkah tapi seperti melayang sekejap. Pintu tersebut adalah pintu biasa sebagaimana pintu-pintu bilik di rumah PPRT. Pintu kayu yang rompong di dalam bercat warna pudar.

Tanpa berfikir panjang, dia ingin membukanya. Sebaik sahaja hujung jarinya menyentuh tombol putar, dia rasai satu renjatan. Matanya terbuka.

'Mimpi ni lagi....' sejurus dia bangun dari tilam toto yang dibelikan oleh ibunya dulu. Dipekupkan mukanya lalu beristigfar panjang. Dalam kelam malam dia meraba mencari handfon untuk mengetahui waktu. Sepertiga malam. Ada 40 minit sebelum surau berdekatan melaungkan azan yang nadanya tak seberapa tapi ikhlas.

Dia bangkit menuju ke cermin yang saiznya lebih kecil dari saiz Ipad. Meroyan agaknya melihat diri dalam gelap. Entah apa yang dilihatnya di dalam cermin itu tapi fikirannya terlintas untuk melakukan solat malam. Aiman bukanlah seorang yang ustaz atau pun mana-mana jejaka yang empunya ilmu feqah yang tinggi yang biasanya menjadi idaman mana-mana wanita bertudung. Tanyalah pada dia fadhilat solat malam, haram sikit pun dia tidak ketahuinya. Dia cuma tahu mendapat pahala lebih. Biarlah jika Aiman hanya membaca surah al-ikhlas selepas alfatihah. Pastikan benaknya kuat mahukan dia solat malam.

 

****

 

Bandaraya Kuala Lumpur kelihatan sayup di hujung ufuk dari Bukit Tabur. Menara berkembar KLCC dan Menara Kuala Lumpur tampak gah dari jauh. Walaupun jerebu kesan kerakusan dan kealpaan manusia menghiasi ruang udara Kuala Lumpur, tapi setiap bangunan masih lagi nampak hebat berdiri.

Aiman melemparkan pandangan sejauh-jauhnya ke arah Kuala Lumpur. Mindanya melayang-layang berfikir apa yang mungkin mengganggu jiwanya. Walaupun dia kerap bercuti namun dia lebih selesa berada di rumah untuk berehat. Jarang sekali dia keluar. Apatah lagi mengeluarkan peluh jantan untuk mendaki bukit yang dikatakan 'makan orang'.

Kalau tidak kerana fikirannya yang runsing, dia tidak menjejakkan kaki di sini. Benar seorang manusia yang inginkan akal yang sihat, perlu melakukan aktiviti riadah untuk melepaskan tekanan. Selesai solat subuh di surau, Aiman mengambil keputusan untuk mendaki Bukit Tabur walaupun terpaksa menempuh dingin pagi dari Shah Alam ke Empangan Klang Gate.

Teringat akan kenangan yang dia hampir melakukan kerja gila semasa di Perancis. Dari pekan Colmar ke bukit yang menjunjung kota lama, Haut-Koenigsbourg. Nama yang pasti membelitkan lidah-lidah keras dengan baku bahasa melayu. Tidak dia pedulikan berapa jauh ketika itu untuk ditempuh dengan basikal pinjam rakan sebelah. Dia sudah hilang punca. Dia ingin lari. Dari siapa, dia sendiri tidak tahu. Dia hanya ingin lari.

Kenangan ini membungakan juga kenangan yang lebih lama. Kenangan pahit mengapa dia berbasikal hingga hampir masuk ke sempadan German itu dan mendaki serta meredah hutan tanpa sebab dan tujuan. Peristiwa 17 Ogos 2007, Jumaat pukul 3 petang..

Aiman akhirnya duduk berteleku memeluk lututnya. Biasanya bukit ini ada pelawatnya setiap hari namun tidak pada hari ini. Bagaikan bukit ini mahukan Aiman bersendirian menikmati pemandangan melepaskan apa yang terbuku. Pemandangan menghijau bukit-bukau disini mempana mata memandang. Menjadi satu tanda tanya juga mengapa daun dijadikan berwarna hijau iaitu warna penenang mata dan jiwa yang kacau. Rahsia alam yang begitu misteri dan lebih dari sebab kebetulan.

'Kau tahu tak, kalau tidak kerana sekelumit iman dalam hati, dah lama aku terjun bunuh diri,' monolog Aiman meluahkan perasaan . Jika ada manusia yang lalu di situ pasti akan berfikir Aiman menghidap penyakit tekanan mental kerana bercakap seorang diri.

Ya, dia dulu hampir terjun gaung di tebing bukit Haut-Koenigsbourg. Perasaan yang menjahanamkan nasib di akhirat itu terlintas setelah dia meraung sekuat-kuat hatinya. Hampir pecah urat tekak dan mukanya. Lebih berderai hatinya dikecewakan wanita yang dia anggap penyelemat dirinya dan calon terbaik untuk dijadikan teman seumur hidup. Harapan tinggal harapan.

Aishah tetap tegas dengan keputusannya. Aiman akur tetapi empunya keyakinan yang cintanya akan kembali jika dia berusaha. Usahanya seperti mengejar bayang-bayang. Dekat tetapi jenuh untuk dikejar. Dekat tetapi menjauh bila dirapati.

' Aku ada bagi kat  dia dua ketul batu yang cantik. Bujur yang sempurna tidak ada bucu. Putih lagi. Penat aku kutip masa aku pergi ke Monaco.' rungut Aiman berseorangan.

Bro.. Batu kot.. Tak romantik di mata wanita.. Lain la batu permata..

'Tapi baru yang aku jumpa tu rare. Aku ingat lagi yang aku cakap, jika hati ini masih diterima, pulangkan sebiji. Kalau hatinya sudah ada tuan yang lain, pulangkan kedua-duanya...' sambung Aiman tidak mengalah dengan suara di kepalanya.

So, apa jadi lepas tuh ? Kau dapat jawapan yang mana satu?

Aiman tidak meneruskan cerita. Dia seolah-olah tidak mahu dunia yang kedua-duanya telah dipulangkan. Itu adalah jawapan dari Aishah. Tapi Aiman jenis yang tidak puas hati. Hatinya sentiasa menghentak-hentak fikirannya. Mengapa dia tidak dipilih dan mengapa Aishah mengambil keputusan clash dengannya dahulu?

Mengapa...?

Dan mengapa aku susah untuk melupakannya?

Sebab kau sayang gila dengan dia



bersambung...

No comments: