Wednesday, 27 August 2014

Tempoh





credit : riandesign.eu



Masa memang satu entiti yang misteri. Ada yang faham begini dan ada yang faham begitu. Tapi secara asasnya manusia empunya tempoh masa masing2. Tarikh luput. Maghrib. Mungkin ada lagi kosa kata yang perlu dirujuk dalam kamus dewan untuk menggambarkan tamatnya tempoh seorang manusia.

 
Jika anda penghidap satu penyakit kronik; barah contohnya, maka sang doktor dengan segala ilmu yang dia timba bersama peluh keringat dan mata lebam mengeluarkan kata-kata ahli nujum, anda ada sekian-sekian waktu.

 
Bagi yang empunya masalah jiwa, lemah dan menghidap penyakit sekunder seperti wahan, berita ini bagai berita langit tanpa tiang runtuh. Bagai Bukit tanpa pasak terbang. Bagai saham wallstreet tergelincir rebah tersembam tanpa bangkit.

 
Bidaslah dengan pelbagai kepakaran ilmu dan sihir. Anda memang tak boleh lari dari hakikat yang tempoh anda semakin kurang. Anda pasti laluinya. Macam lelaki muslim yang perlu berdepan dengan bersunat. Pelajar sekolah dengan SPM. Wanita subur diambang beranak. Nak lari guane boh? Bayar rasuah ngan malaikat izrail pi amik nyawa lain dulu?

 
Rahsia hidup kekal abadi dengan ilmu mengawal masa adalah antara rahsia yang evergreen yang manusia idamkan. The Dragon King of China mahukan kehidupan kekal abadi. Diminumnnya raksa yang dikatakan air magis dan kunci hidup kekal. Terpeleot selepas beberapa lama. Atau pun maharaja fliza yang bertungkus lumus melakukan penghapusan etnik nameck demi hajat yang sama. Terkulai jugak di tangan Son Goku, super saiya terpilih. Eh?

 
Bagaimana pula dengan mengawal masa? Adakah ia boleh? Pelbagai teori, falsafah dan hipotesis dikeluarkan oleh cerdik pandai. Namun ia hanya berlegar-legar dan berdegar-degar di kalangan mereka sahaja; Ilmu tahap dewa yang hanya memeningkan otak warga marhean. Tiada faedah kata kita. Selagi belum wujud mesin cahaya masa atau jam berhenti macam Doraemon, semuanya adalah membazir air liur dan sumber. Akan tetapi kita tidak tahu yang mereka berjaya sebenarnya. Kejayaan mereka melambatkan beberapa microsaat dianggap satu anjakan pertama untuk kejayaan yang lebih besar akan datang. Kalau begitu pesanlah dalam wasiat pada cicit generasi ketujuh untuk datang jumpa atuk tahun 2014.

 
 Tetapi bolehkah sebenanya?


Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. / (3) - Al Asr


Ini sumpah Sang Pencipta, Penguasa Langit dan Bumi. Rugi. Rugi. Rugi. Yang hilang tidak akan kembali walau dikejar. Countdown tetap bertik-tok menuju zero hour yakni waktu appointment Malaikatul Maut datang menjemput anda berjumpa dengan Allah. 

 
Tempat? Mana-mana di bumi Allah hatta di dalam bilik kosong.

 
Bagaimana pula dengan masa itu sendiri? Masa anda memang habis tatkala nyawa meninggalkan jasad tapi masa masih berterusan. Ia tetap akan berterusan sebagai makhluk yang patuh sehingga hari kiamat. Dan tempoh anda hanya picisan seperti habuk terlekat di bulu hidung jika dibandingkan dengan tempoh masa yang Allah sendiri bagi ke atas Masa ini.

 
Penciptaan masa bukan satu yang sia-sia tahu? Ia menjadi satu tanda rujuk penting tanpa sedar untuk manusia. Kerana masa manusia yang berkurangan seperti aset berharga mengalami susut nilai. Semua berkaitan dengan hidup manusia telah dikaitkan dengan masa.


Berapa lama nasi nak masak?
Berapa lama boleh sampai ke Utara?
Berapa lama barang ini boleh sampai?
Berapa lama nak tunggu streaming?
Berapa lama nak upload gambar?
Berapa lama dah dalam bulatan gembira?
Berapa lama boleh sampai ke konferens riang?
Berapa lama nak tunggu dapat claim?
Berapa lama nak tunggu beratur smart tag?
Berapa lama Inche Gabbana nak siapkan novelnya?


Andai tiada masa, manusia tiada hala tuju kerana kehilangan paksi dan tuas bagi memusing kitar hidup mereka. Untungnya manusia yang Allah beri Matahari dan fasa bulan sebagai ukuran masa. Bayangkan kita hidup sepanjang tahun siang / malam. Kita akan kata masa tidak lagi boleh diukur. Tapi sayang, anda tetap ada tempoh masa.


Maka apa akan jadi jika rahsia Allah mengenai tempoh kita diberitahu?


Kita akan buat jahat sehabis mungkin dan bertaubat pada hujung waktu
Macam dah takde guna kewujudan Syurga dan Neraka.


Akan tetapi, beruntunglah mereka yang mengetahui bila pengakhiran mereka. Nah, jika tiba-tiba ditakdirkan yang kita menemui tuhan dalam masa 3 bulan lagi, apakah yang terlintas dengan diri kita?

 
Saya yakin, tidak sebesar zarah pun akan muncul niat untuk merasa arak, mencuba khinzir bakar, melanggan ayam thailand, membunuh orang, menipu orang kampung dengan skim cepat kaya, menyonglap duit derma dan sedekah yang diberikan atas nama persatuan palsu dan sebagainya

 
Kenapa?

 
Sebab kita tahu, dosa-dosa yang kita lakukan sebelum ini, tidak akan cukup untuk ditebus dengan amal berbaki 3 bulan.


Anda yakin anda ada tiket masuk syurga? Yakin boleh tunggu giliran dalam kubur nanti?


Ini 3 bulan, bukan kejap lagi.. ! Kejap lagi juga anda akan merasai kematian pendek. Bukankah tidur itu boleh dianggap mati? Anda begitu yakin yang anda esok akan bangun pergi kerja dengan set alarm clock bukan? Gulp.


Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); (2) - Al Mulk


Tempoh kita semakin singkat walhal masa akan sentiasa bergerak sehingga runtuhnya langit. Amal kita secoet, dosa kita menggunung. Dosa dengan Allah boleh lagi dibersihkan.. Dosa dengan manusia...? Alahai, kita sendiri terlepas pandang atau ambil enteng. Lagi-lagi zaman facebook dan social networking yang hanya satu click maklumat / fitnah / Penipuan / Pengaiban boleh dikongsi.
 

Maka kumpullah amal kita sebelum terlambat, mohon lah ampun dengan keluarga, rakan-rakan dan kenalan, selesaikanlah hutang yang mana patut dan tangisilah malam di hadapan Allah.


Wallahualam


Ingin berkenalan dengan masa
Simon Malik

No comments: