Thursday, 21 July 2011

Ceritera : Samad dan Atuk

Assalamualaikum wbt


'Aduh'! Samad terjatuh lutut dahulu. Kucing yang dikejarnya sudah hilang ke mana. Perlahan-lahan Samad bangun sambil menepuk-nepuk lutunya membuang pasir. Matanya berair menahan sakit.

'Maatt..! Mandii....!. Dah nak maghrib nih.....!' laung suara ibunya dari arah dapur. Cukup jelas. Walaupun ibunya berada di dalam dapur dan Samad berada di hadapan rumah. Samad tidak menyahut, namun seorang budak yang berumur 3 setengah tahun perlu mendengar arahan dari ibu. Dia mula melangkah menuju ke arah soyok yang terletak di berdekatan dengan dapur dan bilik mandi. Melopong kejap sambil mendongak melihat sekumpulan bangau-bangau pulang petang.

Suasana petang di Kampung Batu Gajah amat sunyi sekali. Tiada hiruk-pikuk kenderaan. Hanya burung-burung pulang terbang langit kemerahan dan sekali-sekala ada deruman motor si pekebun tua. Samad berhenti melangkah. Sayup-sayup dia ternampak atuknya berhampiran kandang kambing yang terletak lebih jauh di hujung tanah 2 ekar.

Atuknya baru sahaja selesai mengikat daun-daun nangka di dalam kandang dan kini sedang menyalakan asap di bawah kandang. Samad jarang sekali melihat kambing hidup. Apatah lagi seorang pengusaha kambing yang sudah berumur tapi gagah melakukan kerja-kerja sebagai pengembala.

'Apa lagi tercegat tuh? Cepat tanggal baju seluar.' arah ibu Samad bercekak pinggang di pintu dapur. 'Baaiikkk...!' Samad cuba meniru suara Shin Chan. Sakit lututnya sudah dilupakan.

***

'Nganga mulut.'

Samad tidak membantah. Perutnya lapar dan lauk ikan kembung goreng serta sawi goreng sungguh menyelerakan. Tambahan pula dia hanya perlu membuka mulut kemudian kunyah sahaja. Ibunya mengesat mulut dan pipi Samad yang bernasi. Pipinya tembam dan bulat ditambah lagi dengan nasi yang sedang dikunyahnya.

Kedengaran suara imam membaca surah al-fatihah di surau yang tidak sampai 200meter dari rumah. Sedap bacaannya.

'Suara siapa tuh mak?' Samad yang pertama kali menyedari walaupun berkali-kali pulang ke kampung. Matanya tepat pada ibunya dan mulutnya mengunyah penuh.

'Atuk kamu... Sedapkan?' jawab ibu Samad sambil mengeluarkan isi ikan dan digaul bersama nasi putih yang suam. Diambilnya sedikit sayur sawi lalu dijemput sedikit, menunggu Samad menelan. Bagi Samad perkataan sedap hanya untuk benda yang boleh dimakan seperti KFC atau jajan. Mungkin ada perkataan lain yang boleh memberi makna dengan tepat alunan indah bacaan atuknya.

Sambil berteleku, Samad sedang menyelak-nyelak majalah Tatih di hadapannya. Hanya gambar yang besar-besar dan ayat mudah sahaja yang dia fahami. Ibunya pula menonton televisyen di antara suapan Samad. Samad beralih ke arah televisyen apabila menyelak muka surat yang penuh perkataan sahaja. Kelihatan seorang penunggan motosikal sedang berlumba dan sedang membuat aksi wheelie.

'Fuuyo. Dia terbang mak!' Samad terpegun dengan aksi pelumba haram tersebut. Mulutnya yang sudah tiada makanan terlopong sedikit.

'Betul la tuh. Naik motor macam beruk. Atuk kamu yang dah tua tuh boleh naik basikal dengan baik.' tangannya menyuap nasi ke dalam mulut Samad. Dikunyah penuh selera. Dalam fikirannya kosong seketika. Betul cakap ibu.

***

Samad mengejar lagi kucing siam di dalam rumah. Itu aktiviti kegemarannya kerana sepupu-sepupunya tidak pulang ke kampung. Terkial-kial dia mengejar sampai ke pintu keluar di dapur.

'Uchin!' dia berteriak. Kedua tangannya mendepa ke depan sambil mengejar.

Tiba-tiba dia berhenti mengejar sebaik sahaja kakinya melangkah di luar. Kucing siam yang dikejarnya terus berlari menyorok di bawah soyok. Samad terpaku melihat atuknya sedang duduk mengadap beberapa orang muda. Semuanya berbaju melayu dan tangan mereka memegang al-quran. Mereka terkejut melihat Samad yang tiba-tiba muncul.

'Samad.. Mari duduk dengan atuk' pelawa lembut atuknya. Samad mengikut. Perlahan-lahan dia menuju ke arah atuknya dan duduk di atas riba atuknya. Matanya memandang ke bawah sedikit malu dengan orang luar.

'Mat nanti subuh ikut atuk pergi surau ye?' kata atuk sambil mengucup lembut pipi Samad yang mongel tuh.

'Ok..' Jawab Samad yang masih tunduk. Masih malu dengan abang-abang di hadapannya yang memandang dengan penuh senyuman.

'Atuk buat apa?' tanya Samad yang ingin menghilangkan rasa malu. Matanya masih yang tertunduk.

'Baca Quran. Samad nak baca alquran sekali?' tanya atuknya lagi. Samad tidak menjawab. Masih lagi malu. Malu untuk memberitahu yang dia masih lagi tahap Iqra' bukan seperti abang-abang di depannya.

'Di mana kita tadi? oh ye. Mataa'un qoliil.. 'Atuknya tiba-tiba menyambung percakapan yang terhenti.

'Maksudnya adalah itu hanyalah kesenangan sementara. Berdasarkan ayat sebelumnya iaitu ayat 196 surah al-imran, allah berpesan supaya kita tidak memandang tinggi kehebatan dan kesenangan orang kafir. sehinggakan kita sanjung dan angkat mereka kerana mereka empunya kekuatan terutamanya dalam ketenteraan dan ekonomi. Padahal itu adalah...? ' Atuk Samad bertanya kepada pemuda-pemuda tersebut.

'Kesenangan yang sementara...' jawab mereka dengan nada rendah dan tidak serentak. Ada yang terangguk-angguk setuju.

'Dan Allah berjanji yang mereka akan...'

'Uchin!!'

Samad berteriak sambil melompat dari riba atuknya. Kucing yang baru sahaja keluar dari tempat persembunyian terpaksa melarikan diri kerana dikejar Samad. Yang lain tertawa melihat.

***

Samad merasakan yang ada orang memegang kakinya dengan lembut. Dia membuka matanya perlahan-lahan. di dalam kelam di melihat atuknya.

'Jom Samad kita subuh sama-sama' Atuknya mempelawa.

Wow! Diajak Subuh oleh atuk! Suatu yang julung-julung kali diperolehi. Matanya terus segar dan cepat-cepat bangkit. Atuknya yang sudah bersiap masuk ke salah satu bilik dan keluar bersama sebuah ketayap kecil..

Samad biasanya tidur sehingga pukul 9 pagi. Belum pernah dia diajak pergi subuh bersama-sama di surau. Dia agak teruja bila dipakaikan ketayap oleh atuknya. Perasaan seperti dikalung pingat kebesaran oleh orang yang dihormati!

Akhirnya mereka berdua keluar menerusi pintu dapur dan melangkah meredah kelam pagi menuju ke surau berdekatan. Bunyian cengkerik masih giat manakala daun-daun pula sudah mula berembun. Samad yang jarang sekali merasi hening pagi mengikut sahaja pimpinan atuknya.

***

'Mat ikut je atuk ye?'

Samad mengangguk. Atuknya berjalan ke hadapan di tempat imam. Dari atuknya, Samad berdiri paling kanan sekali. Tidak ramai. Hanya 7 orang termasuk dirinya yang berdiri di belakang atuknya. Tiba-tiba salah seorang dari mereka melaung qamat dengan perlahan dan orang-orang lain bergerak-gerak seperti meluruskan barisan.

Samad agak terpinga-pinga. Pak cik tua dikirinya menarik Samad dengan perlahan merapatinya. Rapat dan lurus. Macam tenteralah!

'Allahuakbar'

Samad ikut sekali mengangkat takbir. Ekor matanya sentiasa melihat atuk. Dan pastinya Samad akan mengikut gerak langkah atuknya.

Atuknya mula membaca surah al-fatihah. Macam mak cakap. Sedap. Tanpa Samad sedari matanya tertutup menikmati alunan bacaan quran. Samad sememangnya tidak tahu surah mana yang atuknya sedang bacakan mahupun maksud tapi dia terasa seperti ada suatu aura yang membelai lembut jiwanya.

'Allahuakbar'

Terjaga dari lamunan, Samad mengikut gerak atuknya untuk rukuk. Konsentrasinya menikmati alunan suara atuknya terputus. Matanya kembali melihat atuknya melaui ekor. 'Jap, nak baca apa nih?' getis hatinya.

Sehingga sujud terakhir dia mengikut atuknya. Pada rakaat pertama, ketika sujud semestinya dia tidak dapat mengintai atuknya. dia rasa dia patut kembali mengintai bila atuknya habis melafazkan allahuakbar. Dia perasaan yang kadang-kala atuknya memanjangkan perkataan 'Allah' itu.

Kali ini sujudnya lama. dia tidak tahu apa yang menyebabkan atuknya sujud begitu lama. Samad mula menguap. Terasa mengantuk. Masih menunggu 'arahan' bergerak dari atuknya. Dalam sujud itu, Samad berfikir.

'Nak jadi cam atuk lah baca alquran sedap... Atuk kuat leh jaga kambing... Atuk boleh naik basikal dengan betul.... Nanti Samad pun.... nak diri... depan.. ma...cam...'

Tanpa Samad sedari dia tertidur dalam sujudnya.


-tamat-


Soyok : tempat ala-ala bangsal terbuka dan tempat melepak


Simon 'Adam' Malik

2 comments:

Puding Karamel said...

err...atuk dia meninggal?

Simon 'Adam' Malik said...

ending yang sebenar berada pada pemikiran pembaca... hehe..


jap, kenapa perlu tragis? hee~